Saturday 23 March 2013

Penyusuan Susu Ibu

Kali Nie kita berkongsi cerita mengenai penyusuan susu ibu..banyak tips-tips berguna yang aku perolehi untuk di kongsi bersama. Susu ibu atau susu badan adalah makanan terbaik untuk bayi anda. Tanyalah mana-mana pakar kesihatan dan mereka akan mengatakan bahawa cara yang paling sihat untuk memberi makan kepada bayi baru lahir ialah dengan menyusukan bayi anda. Kajian menunjukkan bahawa menyusu secara eksklusif sekurang-kurangnya selama tiga bulan boleh membantu mencegah gastroentreritis pada bayi. Jika anda menyusukan bayi anda selama sekurang-kurangnya empat bulan, anda boleh mengurangkan risiko bayi anda untuk mendapat penyakit pernafasan dan jangkitan telinga.
Susu ibu merupakan sumber makanan yang lengkap; ia mengandungi semua nutrien yang diperlukan oleh bayi anda – sekurang-kurangnya 400 jenis – termasuk hormon dan bahan melawan penyakit yang tidak terdapat dalam susu formula bayi. Malah, kandungan nutriennya akan mengadaptasi kepada keperluan bayi anda semasa dia membesar. Dan selain dari manfaat pengembangan minda dan imuniti jangkitan dalam susu ibu, yang tidak boleh ditiru oleh mana-mana susu formula, penyusuan badan boleh membantu membina ikatan istimewa antara anda dan bayi anda. Apabila anda menyusukan bayi anda, bayi anda memanfaatkan kontak kulit dengan kulit, di samping pelukan dan pegangan. Anda juga akan berasa begitu.
Persediaan untuk penyusuan Sebenarnya agak sukar untuk menyediakan puting payudara anda untuk memulakan penyusuan, tetapi anda boleh dan perlu bersedia dari segi minda. Ia membantu anda mempelajari sebanyak mungkin mengenai penyusuan sebelum bayi anda lahir. Para bapa juga perlu belajar sebanyak mungkin, supaya mereka dapat menyokong dan menggalakkan isteri mereka yang menyusukan bayi.






Bagaimana untuk menyusu
Oleh sebab penyusuan boleh mengambil masa dari tujuh minit hingga ke 40 minit, pilihlah tempat yang selesa untuk anda. Keadaan persekitaran adalah sangat penting, terutamanya pada peringkat awal anda mula menyusukan bayi, sebab anda perlu membiasakan diri. Jika anda mudah diganggu oleh bunyi bising, cari tempat yang senyap. Jika anda mudah bosan, anda mungkin mahu menyusukan bayi di hadapan televisyen, tetapi hanya jika penyusuan sudah menjadi perkara yang selesa untuk anda dan bayi anda. Cubalah beberapa tempat yang mungkin dahulu sehingga anda menjumpai tempat yang sesuai untuk anda.

Pegang bayi anda dalam posisi yang tidak membuatkan lengan dan belakang anda sakit. Letakkan seberapa banyak kusyen di sekeliling anda untuk sokongan. Ramai wanita mendapati posisi melengkok seperti buaian adalah paling selesa untuk mereka walaupun kegemaran ibu mungkin berkainan. Pilihlah tempat yang selesa untuk anda dan bayi anda sebelum mula menyusu. Perhatikan bagaimanakah rasa pada buah dada anda semasa bayi anda melekap padanya. Bayi sepatutnya menghisap satu mulut penuh tisu buah dada anda. Jika pelekapan menyakitkan, lepaskan lekapan – dengan memasukkan jari kecil anda di antara gusi bayi anda dan puting anda – dan cuba sekali lagi. Apabila bayi anda dapat melekap dengan baik, dia akan dapat menjalankan apa yang perlu seterusnya. 


Masalah yang mungkin anda hadapi
Walaupun wanita telah menyusukan bayi berkurun-kurun lamanya, ia bukan selalunya mudah. Ramai yang menghadapi kesulitan pada peringkat awal. Dalam enam minggu pertama, pada masa bekalan susu anda sedang mengadaptasi dan bayi anda belajar untuk menyusu, anda mungkin akan mengalami perkara yang berikut:

Pembengkakan: buah dada yang sangat penuh.
Mastitis: radang buah dada.
Sakit puting.


Penyusuan di tempat umum
Walaupun anda berasa malu untuk menyusukan bayi anda di hadapan orang lain, ini telah menjadi satu perkara yang biasa di kawasan bandar di Malaysia. Di samping itu, anda tidak boleh sentiasa pulang ke rumah anda setiap kali bayi anda perlu menyusu. Sesetengah baju direka khas untuk membolehkan anda menyusukan bayi anda dengan baik. Elakkan baju yang menggunakan butang sebab ia akan membuatkan anda berasa sangat terdedah – baju yang boleh meregang adalah lebih baik. Letakkan sehelai skarf, selendang atau kain selimut yang nipis pada bahu dan dada anda semasa bayi anda menyusu supaya anda tidak berasa malu di tempat umum (pastikan anak anda boleh bernafas dengan baik).

Kebanyakan pusat membeli-belah utama, atau yang dibina atau diubah suai dalam masa lima tahun yang lepas mempunyai bilik persalinan bayi, di mana anda boleh duduk dan menyusukan bayi anda dengan selesa dengan kehadiran ibu lain. Jika anda tidak mempunyai akses kepada kemudahan seperti itu, kebanyakan tempat akan menyediakan tempat untuk ibu yang menyusu dan bayi yang kelaparan. Mintalah sebuah bilik atau satu sudut apabila anda mahu menyusukan bayi anda. Lambat-laun, apabila anda sudah biasa dengan penyusuan, anda tidak akan malu untuk menyusukan bayi anda di tempat umum.

Walau bagaimanapun, anda mungkin mahu mempertimbangkan fakta yang mana cara hidup orang Malaysia boleh mewujudkan beberapa cabaran untuk menyusukan bayi di tempat umum. Sebagai contoh, jika anda berada di medan selera atau gerai mamak yang buka 24 jam (jangankan kemudahan untuk ibu dan bayi, bilik air yang bersih pun sukar untuk dicari!), jadi lebih baik anda menyusukan bayi anda sebentar di dalam kereta (kunci pintu dan hidupkan enjin supaya penghawa dingin boleh dipasang). Selesaikan penyusuan apabila anda telah sampai di rumah.




Apa yang perlu anda beli
Anda perlu membeli sekurang-kurangnya dua helai bra menyusu. Ini akan memberikan sokongan kepada buah dada anda yang bersaiz lebih besar daripada biasa itu. Ia boleh didapati dalam cangkuk atau zip yang boleh dibuka dengan mudah apabila anda mahu menyusukan. Pastikan ia betul-betul padan dan penutup boleh dibuka sepenuhnya. Jika hanya sedikit sahaja bahagian buah dada yang terdedah, bra itu mungkin memberi tekanan pada anda dan menyebabkan duktus tersumbat. Anda mungkin mahu menunggu sehingga anda melahirkan bayi sebelum membeli bra untuk memastikan anda membeli bra yang padan dengan baik. Anda akan dapati bahawa bra menyusu yang berkualiti tinggi tidak mempunyai dawai sokongan sebab dawai keras ini akan menyebabkan duktus tersumbat. 


Sesetengah ibu mendapati bahawa buah dada mereka akan meleleh semasa laktasi. Mendengar tangisan bayi atau terpandang bayi orang lain akan merangsang aliran susu dan ini berlaku kadang-kala pada waktu yang tidak sesuai. Pastikan anda mempunyai bekalan pad bra yang secukupnya. Anda boleh membeli pad yang boleh dibasuh atau pad pakai buang. 



Cara Meningkatkan Jumlah Pengeluaran Susu
Lebih kerap anda mengeluarkan susu, akan lebih banyak susu yang dihasilkan, tetapi menyusukan dengan lebih kerap (selagi susu masih mengalir) adalah lebih efektif daripada menyusukan dalam masa yang lebih panjang. Apabila anda berjauhan dengan bayi anda, dan perlu mengepamkan susu keluar, cuba relaks ketika itu dan fikirkanlah bayi anda, dan jika perlu, bawa gambarnya bersama atau barang kepunyaannya seperti baju atau selimut. Ini membantu merangsang refleks yang menenangkan, yang terhenti buat sementara jika anda tertekan atau letih.

Menggunakan pam secara berganda mengambil masa yang lebih singkat. Juga, menyusukan bayi di sebelah buah dada sambil mengepam buah dada yang lagi satu juga akan mempercepatkan proses. Meletakkan flanel hangat pada buah dada anda atau mandi air panas sebelum mengepam akan membantu meningkatkan bekalan darah ke kawasan tersebut dan ia akan memudahkan lagi proses pengaliran. Walaupun ramai ibu mendapati pam buah dada mudah dan sesuai digunakan, tidak semua buah dada wanita akan bertindak balas dengan baik kepada pam buah dada – sesetengah daripadanya akan mendapati bahawa
mengeluarkan susu menggunakan tangan adalah lebih efektif. 


Jika anda merancang untuk kembali bekerja, anda akan merasa kurang tertekan jika anda sudah mula mengepam beberapa minggu lebih awal. Ini bukan hanya memberikan masa untuk anda berasa yakin dengan keupayaan anda untuk mengeluarkan susu, tetapi anda juga akan mempunyai bekalan susu beku untuk kegunaan di masa hadapan.
Mengeluarkan susu selalunya menjadi lebih produktif dengan latihan, jadi jangan risau jika anda hanya mengeluarkan sedikit susu pada awalnya. Waktu terbaik untuk mengeluarkan susu berbeza bagi setiap wanita tetapi buah dada anda selalunya berasa lebih penuh pada waktu pagi. Pilih masa yang mana anda tidak tergesa-gesa dan tidak akan diganggu.


Tips / Petua Memperbanyakkan susu Badan
Cara memperbanyakkan air susu badan nie mudah je..Samada kita buat secara semulajadi or bantuan pemakanan yang lain..so kat sini aku share kan dengan korang smua yea..petua nie pun aku dapat dr family, kengkawan n internet la..kira kita boleh pilih je mane yang mudah

1. Kerapkan Menyusu
Susukan bayi sekurang-kurangnya setiap 3 jam pada siang hari. Jika bayi tidur lebih daripada 3 jam, kejutkan dia untuk menyusu. Pada waktu malam pula, kejutkan bayi untuk menyusu tambahan terutamanya jika dia tidur lebih daripada 4 - 5 jam.

2. Jangan tunggu payu dara penuh
Ada sesetengah wanita suka menjadikan payu dara penuh sebagai petunjuk bahawa bayinya perlu disusukan. Itu salah! Yakinlah bahawa payu dara sentiasa mengandungi susu dan apabila bayi disusukan, ia akan bekerja keras untuk menghasilkan lebih banyak susu. Kajian menunjukkan bahawa tahap lemak dalam susu adalah lebih tinggi apabila tempoh antara satu penyusuan dengan yang lain adalah singkat. Ini bererti, jika anda menyusukan bayi beberapa minit selepas selesai menyusukan bayi (ketika anda beranggapan payu dara “kosong”), dia akan memperoleh susu tinggi kandungan lemak yang dapat membantunya menambah berat badan.

3. Menyusu Lebih Lama
Jangan hadkan masa setiap kali menyusukan bayi di sebelah payu dara. Biarkan dia menyusu sebelah bahagian sehingga puas sebelum menawarkannya menyusu di bahagian payu dara yang lain. Ini akan memberinya peluang untuk mendapatkan susu berlemak tinggi (hindmilk). Jika anda terlalu cepat menawarkan payu dara sebelah lagi, dia hanya mendapat foremilk, di mana hanya perutnya sahaja penuh tetapi tidak memberi kalori mencukupi untuk tumbesarannya.

4. Penyusuan Dua kali
Selepas anda menyusukan bayi, sendawakan dia. Langkah ini menjurus ruang di dalam perutnya untuk memuatkan lebih banyak susu. Kemudian, susukan dia semula. Cara ini turut merangsang payu dara untuk menghasilkan lebih banyak susu.

5. Bogelkan Bayi 
Sewaktu menyusu, bogelkan bayi (kecuali lampinnya). Sentuhan kulit ke kulit membantu bayi kekal sedar daripada lena. Untuk memaksimumkan sentuhan kulit, buka coli dan pakai baju yang mempunyai butang di bahagian depan. Bagi mengelakkan bayi kesejukan pula, selimutkan dia ketika menyusu.

6. Penyusuan Malam
Amalan menyusukan bayi di waktu malam sangat bagus kerana ia merangsang peningkatan susu. Ini kerana di waktu malam, anda berdua lebih relaks lalu membolehkan bayi menyusu lebih lama dan kerap. Penyusuan malam turut merangsang hormon prolaktin yang memainkan peranannya menghasilkan lebih banyak susu.

7. Penyusuan Baby Sling
Bayi memang suka jika berada dekat dengan anda. Secara tidak langsung, ia boleh merangsang dia untuk kerap menyusu. Jadi, gunakan baby sling di antara waktu penyusuan walaupun ketika itu dia sedang tidur. Pasti anda terkejut apabila mendapati dengan cara ini dia menyusu dengan lebih baik.

8. Fikir Bayi, Fikir Susu
Ketika menyusu, belailah bayi. Amalan ini dikenali sebagai grooming. Langkah ini tanpa disedari merangsang penghasilan susu. Antara lain, di antara waktu penyusuan dan sejurus sebelum sesi penyusuan bayangkan bayi sedang menyusu di payu dara anda. Cara ini, akan merangsang payu dara untuk mengeluarkan lebih banyak susu.

9. Urutan
Teknik urutan payu dara yang betul akan membantu susu mengalir dengan lancar. Apatah lagi sewaktu anda mengalami bengkak susu ataupun sakit puting. Untuk itu, anda perlu menuam payu dara dengan tuala yang telah direndam di dalam sir suam. Anda boleh pelajari teknik mengurut menerusi www.breastfeedingproblems.com 

10. Minum Air
Pastikan anda minum banyak air sepanjang tempoh penyusuan mahupun pemerahan susu. Anda digalakkan minum 3.1 liter air iaitu kira-kira 13 cawan setiap hari.

Kaedah Lain

1) Bunga melur dan daun pucuk manis
Giling daun bunga melur atau daun pucuk manis sehingga halus dan tampal di sekeliling payu dara pada waktu pagi sebelum mandi. Pastikan anda cuci bersih kawasan payu dara sebelum menyusukan bayi.



 










2) Kacang tanah
Kacang tanah mengandungi kandungan protein yang tinggi, zat besi, vitamin E, kalsium, vitamin B kompleks, dan fosforus. Kandungan protein dalam kacang tanah lebih tinggi daripada daging, telur dan kacang soya. Kandungan asid aminonya pun tinggi. Bagi menambahkan penghasilan susu badan, anda digalakkan mengambil kacang tanah yang dipanggang bersama susu kambing





3) Longan kering
Rebus segenggam longan kering yang telah dibasuh bersih dengan 3 cawan air sehingga kembang. Minum airnya.


4) Daun sirih
Sapukan sedikit minyak kelapa pada daun sirih. Kemudian, layurkan pada api sehingga layu. Setelah suam, tekapkan pada payu dara. Lakukan setiap hari sehingga susu badan menjadi banyak.



5) Halba dan jintan hitam
Cuci halba atau jintan hitam bersih-bersih. Selepas itu keringkan dan simpan dalam bekas bertutup. Cara menggunakannya, rendamkan 1 sudu halba atau jintan manis  dalam segelas air panas selama 15 minit. Kemudian tapis dan minum airnya.





6) Susu
Banyakkan minum susu. Seelok-eloknya mengambil hidangan susu sebanyak 3 hingga 4 hidangan sehari..


7) Lobak merah
Ambil sebatang lobak putih bersaiz sederhana. Cuci bersih dan kemudian potong kecil-kecil. Kisar sehingga halus. Selepas itu, campurkan dengan segelas air suam. Minumlah sebanyak 2 kali sehari.


8) Nasi panas, halia muda dan air asam
Makanlah nasi panas bersama halia muda yang ditumbuk halus dan dicampurkan dengan air asam.








9) Daun betik / Betik muda
Ambil beberapa helai daun betik sederhana muda. Cuci bersih dan rebus sehingga mendidih. Minum air rebusan tersebut 2 hingga 3 kali sehari. Betik Muda boleh di makan samada di buat ulam atau sayur



10) Jantung Pisang

Jantung pisang bukan sahaja sedap dimakan, ia juga berkesan untuk menambahkan susu badan bagi ibu yang mengalami kekurangan susu badan... Makan dengan dicelur bersama sambal belacan, dibuat kerabu atau dibuat gulai masak lemak cili api.




11) Makanan Tinggi CLA

Ibu menyusu yang makan makanan tinggi kandungan conjugated linoleic acid (CLA) boleh meningkatkan kandungan kumpulan asid lemak ini dalam susunya.
Asid-asid lemak ini mempunyai pelbagai kebaikan dalam penjagaan kesihatan antaranya kesan anti kanser, anti oksida, pengurangan berat badan dan pengurangan risiko sakit jantung.

Dalam kajian yang didedahkan dalam Jurnal Kajian Pemakanan ini, susu perahan ibu menyusu yang makan biskut diperkaya CLA ini didapati mempunyai kandungan asid lemak lebih 46% berbanding ibu menyusu yang makan biskut biasa. CLA dalam susu ibu mencapai tahap tertingginya selepas 8 ke 28 jam ibu-ibu memakan biskut khas ini.

Kandungan CLA yang tinggi secara semulajadinya terdapat dalam makanan seperti susu, keju, telur, minyak sayuran dan sesetengah jenis daging (ayam, daging lembu dan kambing yang makan rumput - bukan bijirin). Kebanyakan kajian tentang CLA dan kesannya terhadap manusia menggunakan supplement komersial.

12) Kurma

Unsur zat besi dan kalsium yang terdapat di dalam buah kurma adalah unsur yang paling tinggi bagi membentuk susu ibu. Bagi Ibu-ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu, maka dengan memakannya dapat menggalakkan pertambahan kandungan susu





* Antara makanan yang mungkin menambah penghasilan susu ibu

1. Makanan mengandungi vitamin B seperti kekacang, dal.
2. Jambu batu – makan begitu sahaja.
3. Sawi, kacang panjang, kacang buncis, jagung muda – goreng atau sup.
4.
Daun atau pucuk meranti masak lemak putih, tumis air atau goreng.
5. Oat – dijadikan minuman, biskut, bubur atau salutan pada makanan
sebelum dimasak.
6. Madu – gunakan sebagai pemanis dalam minuman, sapuan pada roti atau cicah pada lempeng susu beroat
7. Red raspberry leaves – suplemen dari farmasi
8. Barli – air atau bubur barli.
9. Pucuk manis – masak lemak bersama ubi keledek.
10. Pucuk pegaga – dijadikan ulam atau jus.
11. Daun kucai – goreng bersama tauge dengan tauhu dan tempe.
12. Air soya dan produk soya seperti tauhu, taufufa, tempe
13. Air horlicks
14. Susu, produk tenusu dan pil kalsium (ibu menyusu akan menyalurkan kalsiumnya pd anak yang disusuinya. Ini akan menyebabkan ibu kurang kalsium. - Kalau taknak tulang reput cepat n gigi goyang berderai cepat, mknlah kalsium ya!)
15. Teh hijau jepun
16. Makanan mengandung yis seperti roti, donut, tapai pulut dan sebagainya.
17. Bawang putih mengandungi banyak sulfur yang bagus untuk sendi dan membantu penghasilan susu.
18. Kacang merah : rebus kacang merah tanpa gula. Minum air dan kacangnye sekali.
19. Ubat homeopati.



Cara Penyimpanan Susu
Untuk menyimpan susu badan, pilih bekas yang disterilkan dan bertutup dengan rapat. Beg sejuk khas untuk pembekuan susu badan boleh dibeli untuk menyimpan susu anda tetapi selalunya ia mudah bocor, koyak dan berlubang, dan mungkin tidak bertutup rapat. Walau bagaimanapun, Perunding Laktasi dan Pengerusi Pesatuan Ibu-ibu Menyusu UK, berkata: "Pilih beg sejuk beku yang tebal atau bahagian luarnya diperbuat daripada nilon dan semuanya akan OK. Satu lagi cara ialah menggunakan dua lapis beg." Namun begitu, gelas atau plastik keras adalah pilihan yang lebih baik untuk menyimpan susu bagi tempoh yang lama.

Anda mungkin telah menjumpai banyak garis panduan yang berlainan mengenai tempoh dan tempat anda boleh menyimpan susu badan (EBM - expressed breastmilk). Persatuan Simpanan Susu UK menjelaskan bahawa ini ialah disebabkan kumpulan kajian yang berlainan telah memfokuskan ke atas aspek simpanan susu yang tertentu yang mana telah dibentangkan berkaitan kajian tertentu, dan bukanlah bermakna garis panduan itu adalah salah. Beberapa garis panduan disasarkan kepada susu yang disimpan dalam keadaan steril dalam tabung susu; ada yang lain hanyalah relevan jika anda mempunyai bayi pramatang. Secara am, garis panduan yang berikut berasaskan kajian yang diperolehi dari
UK’s Association of Breastfeeding Mothers (ABM) dan sesuai bagi ibu yang menyimpan susu di rumah untuk bayi yang sihat dan cukup terma.

Anda boleh menyimpan susu:

• Pada suhu bilik – tidak melebihi daripada 77 darjah F/25 darjah C – selama empat jam.

• Dalam peti ais bersuhu 39 darjah F/4 darjah C atau lebih rendah selama tiga hingga lima hari. Walau bagaimanapun, disebabkan kegunaan peti ais di Malaysia adalah lebih berat oleh kerana peti ais banyak digunakan untuk menyimpan item segar, maka, satu nasihat am ialah supaya menyimpan susu badan yang dipam tidak melebihi 24 jam.

• Dalam peti sejuk beku bersuhu -20°C, yang tidak mempunyai kitar nyahbeku, selama enam hingga 12 bulan. Malah, di Malaysia, pakar-pakar selalunya menyarankan supaya menyimpan susu dalam peti sejuk beku hanya selama tiga hingga enam bulan jika suhu peti sejuk beku anda disetkan tidak melebihi negatif 18 darjah Centigrade. Simpanlah susu di bahagian belakang peti sejuk beku, jauh dari pintu sebab item yang disimpan di hadapan lebih mudah terjejas dengan perubahan suhu semasa anda membuka peti sejuk beku. 


 


Sebagai tambahan kepada garis panduan dari ABM, elok juga bagi anda mengetahui perkara yang berikut:

• Anda boleh mencampurkan susu yang baru dipam dengan susu beku jika ia didinginkan dahulu sekurang-kurangnya sejam, dan jumlahnya adalah kurang daripada jumlah susu yang telah beku. Susu segar mengekalkan lebih banyak ciri-ciri perlindungannya berbanding dengan susu beku, jadi sejauh mana yang boleh, gunakan susu yang disejukkan (refrigerated) dan bukan susu beku (frozen) untuk menyusukan bayi anda. Tetapi ingatlah bahawa susu badan yang dibekukan masih mempunyai lebih khasiat kesihatan daripada susu formula.

• Jika anda akan membekukan susu badan, lakukannya dalam masa 24 jam.

• Susu yang dialihkan dari peti sejuk beku ke peti ais boleh disimpan sehingga 24 jam.

Ingatlah, apabila anda mengepam susu, cuci tangan anda dan pastikan pam buah dada dicuci, dibilas dan disterilkan dengan betul untuk mencegah sebarang bakteria dari membiak dalam susu tersebut.


Tanda-tanda yang menunjukkan bayi anda mendapat susu yang mencukupi
Dalam beberapa minggu pertama, anda mungkin tertanya-tanya jika bayi anda mendapat susu yang secukupnya, terutamanya jika dia mahu menyusu setiap masa atau ternampak tidak puas selepas menyusu. Apabila telah lepas satu atau dua hari pertama, bayi anda akan selalu berasa lapar. Dan kemungkinannya memang dia lapar, sebab susu badan selesai dicernakan dalam dua jam selepas dia menyusu.

Kebanyakan bayi baru lahir mahu menyusu lapan hingga 15 kali sehari pada tiga atau empat hari pertama kehidupannya. Ramai bayi yang masih menyusu 10-12 kali sehari selepas minggu pertama. Bayi akan terus menyusu begini sehingga satu minggu lagi sebelum mengurangkan penyusuan ke lapan hingga 10 kali sehari. Susukan bayi anda sekerap yang dia kehendaki. Anda dapati bahawa anda tidak boleh lagi melakukan kerja harian biasa dalam beberapa minggu pertama semasa menyempurnakan rutin menyusukan bayi.

Malangnya, menimbang berat badan bayi pada beberapa hari pertama tidak akan menyakinkan anda, sebab berat badan bayi baru lahir selalunya turun lima hingga 10 peratus daripada berat lahir mereka dalam minggu pertama atau seterusnya. Walau bagaimanapun, bayi anda sepatutnya menambah berat badan selepas itu, dan jika anda menimbangnya semula pada hari ke-10 hingga ke-14, anda akan mendapati berat badan bayi anda sudah pulih kepada berat lahirnya.

Terdapat beberapa cara untuk mengukur jika bayi anda menyusu secukupnya, dan terdapat juga tanda-tanda yang dia tidak menyusu secukupnya. Penyahidratan dalam bayi baru lahir jarang berlaku tetapi anda perlu mengetahui tanda-tanda bayi menyusu dengan sempurna supaya anda boleh menghubungi doktor anda jika terdapat sebarang keadaan yang tidak menyenangkan. Ini termasuklah:

• Bayi anda menyusu lapan hingga 10 kali sehari pada dua atau tiga minggu pertama.
• Buah dada anda sudah melepaskan susu sepenuhnya dan berasa lebih lembut selepas penyusuan.
• Kulit bayi anda berasa tegang – ia akan memantul semula apabila dicubit.
• Sepatutnya terdapat sekurang-kurangnya enam kali tukaran lampin basah dalam masa 24 jam. (Lebih mudah untuk mengetahui lampin biasa yang basah daripada lampin pakai buang yang basah.) Urin bayi anda akan berwarna jernih dan tidak berbau.
• Kelihatan bayi menelan semasa penyusuan.
• Najis bayi anda berwarna kuning gelap atau sering gelap, atau najis semakin berwarna cerah pada hari kelima selepas kelahiran.



Tanda-tanda amaran bahawa bayi tidak mendapat susu secukupnya
Tanda-tanda bahawa bayi anda tidak mendapat susu secukupnya selalunya termasuk perkara yang berikut:

• Bayi anda tidak mendapat balik berat lahirnya atau menambahkan berat badan selepas dua minggu.
• Payu dara anda tidak berasa lebih lembut selepas penyusuan.
• Bayi anda meragam atau sering letih.
• Pipi bayi anda lekung atau membuat bunyi berdecit semasa menyusu. (Ini adalah tanda yang bayi anda tidak menghisap dengan betul dan anda perlu mendapatkan nasihat pakar perunding penyusuan untuk memastikan anda menggunakan teknik yang betul.)
• Selepas hari kelima kelahiran, anda tidak menyalin lampin bayi anda sebanyak enam hingga lapan kali dalam masa 24 jam.
• Bayi anda tidak membuang air besar sekurang-kurangnya sekali sehari atau najisnya masih berwarna gelap lima hari atau lebih selepas kelahiran.
• Bayi anda semakin berwarna kekuningan, bukannya semakin kurang, selepas minggu pertama.
• Muka bayi anda tidak berisi dalam masa tiga minggu.
• Kulit bayi anda tetap berkerut selepas minggu pertama.

Jika anda risau mengenai sebarang tanda-tanda berikut, hubungi doktor atau ahli pediatrik keluarga anda.

Anda akan tahu yang anda menyusukan bayi dengan secukupnya apabila:
• bayi anda melekap pada buah dada anda dengan baik dan menyusu apabila terasa lapar;
• penyusuan adalah selesa dan tidak menyakitkan;
• dan, bayi anda akan menukar ritmanya semasa menghisap dan berhenti seketika semasa penyusuan, mula menyusu tanpa berhenti dan melepaskan hisapan secara spontan apabila sudah kenyang.

Jika bayi anda menunjukkan tanda-tanda berikut, anda menyusukannya dengan secukupnya. Salah satu perkara yang paling sukar semasa memulakan penyusuan ialah merasa yakin bahawa anda menyusukan bayi anda secukupnya. Memang anda menyusu dengan betul, tetapi jangan teragak-agak untuk mendapat nasihat dan bantuan daripada ahli pediatrik, doktor keluarga atau perunding penyusuan semasa peringkat awal penyusuan.