Teruja rasanya bila berkongsi bab pemakanan si manja. Sebagai Ibu mestila
kita nak sediakan makanan yang terbaik untuk anak kita. Biarla makanan yang
kita hidangkan penuh khasiat untuk tumbesaran mereka agar menjadi anak yang
sihat, cergas, cerdik, pintar dan yang paling utama sekali menjadi anak yang
soleh / soleha. Ini kerana masakan daripada air tangan seorang Ibu banyak
berkat yang tersembunyi.
Masuk sahaja usia 6 bulan, kebanyakan bayi sudah mula diperkenalkan kepada
makanan pejal. Sedikit demi sedikit mereka belajar mengenali makanan yang
pelbagai jenis dan rasa. Supaya anak terus mendapat makanan yang berkhasiat dan
berguna untuk tumbesarannya, ada beberapa tip yang boleh dikongsi
bersama.
Setelah semakin membesar, tabiat pemakanan anak anda akan mula berubah.
Begitu juga dengan keperluan pemakanannya. Tahun-tahun awal ini adalah waktu
pesat untuk perkembangan fizikal dan mentalnya. Ini jugalah masanya tubuh
memerlukan lebih nutrien untuk memastikan tumbesaran berjalan lancar. Ketika
ini peranan ibu bapa sangat penting. Mereka perlu memastikan setiap makanan
yang masuk ke dalam perut anak benar-benar berkhasiat.
Untuk membantu anak mendapatkan nutrien yang cukup bagi tumbesaran yang
optimum, ada beberapa tip boleh dijadikan amalan.
Tip 1: Beri protein yang mencukupi
Jumlah protein yang mencukupi dalam diet harian anak penting untuk
kesihatannya. Protein bukan sahaja menyumbang ke arah tumbesaran tubuh untuk
kanak-kanak yang sedang membesar tetapi juga untuk membantu membina dan
memperbaiki tisu badannya yang rosak. Berdasarkan Saranan Pengambilan Nutrien (Recommended
Nutrient Intake -RNI) untuk rakyat Malaysia, kanak-kanak yang berusia di
antara satu hingga tiga tahun memerlukan sebanyak 14gm protein setiap hari
manakala kanak-kanak yang berusia di antara empat hingga enam tahun memerlukan
sebanyak 23gm protein setiap hari. Oleh yang demikian, pastikan anak anda
mendapat protein yang secukupnya.
Tip 2: Pastikan anak cukup zat besi
Bagi kanak-kanak yang sedang membesar, zat besi penting untuk penghasilan
hemoglobin iaitu komponen dalam sel darah merah yang membawa oksigen ke seluruh
tubuh. Untuk pengetahuan,
jumlah darah meningkat sejajar dengan peningkatan pertumbuhan anak. Oleh sebab
itulah kanak-kanak perlukan zat besi yang secukupnya. Zat besi boleh
diperoleh daripada daging merah, hasil tenusu, makanan laut, legum dan
sayur-sayuran hijau seperti brokoli. Ketahuilah bahawa vitamin C yang ada dalam
buah-buahan sitrus boleh untuk membantu menyerap zat besi dari sumber bukan
daging.
Tip 3: Hadkan pengambilan gula
Gula merupakan karbohidrat ringkas dan boleh didapati dalam buah-buahan,
makanan pencuci mulut dan minuman berperisa. Seperti yang diketahui ramai, gula
membekalkan tenaga tetapi kurang kandungan nutriennya. Jadi, pastikan anak anda
tidak terlebih mengambil gula. Selain itu, elakkan daripada memberi anak minum
minuman berkarbonat dan galakkan anak minum banyak air kosong.
Anda juga perlu mengehadkan pengambilan snek yang manis oleh anak.
Sebaliknya, galakkan mereka makan makanan yang kaya nutrien dan tenaga. Antara
makanan yang disarankan ialah seperti buah-buahan kerana buah-buahan bukan
hanya mengandungi gula tetapi juga kaya dengan pelbagai jenis vitamin. Selain
buah-buahan, karbohidrat kompleks pun bagus untuk anak anda kerana berkanji dan
berserat. Beri anak anda banyak karbohidrat kompleks seperti nasi, mi, oat atau
bijirin.
Tip 4: Jangan gunakan garam
Banyak makanan yang siap yang ada di pasaran bukan dibuat untuk kanak-kanak
dan selalunya mengandungi terlalu banyak garam. Jadi, elakkan membeli makanan
siap untuk anak. Sebaiknya sediakan sendiri makanan untuk anak. Akan tetapi
ketika menyediakan makanan untuk anak, kurangkan penggunaan garam dan kalau
boleh jangan masukkan garam ke dalam makanan mereka terutamanya bagi makanan
bayi.
Tip 5: Pengambilan lemak baik
Bukan semua lemak tidak baik untuk kesihatan. Tidak kira sama ada orang
dewasa ataupun kanak-kanak, masing-masing perlukan lemak untuk kegunaan tubuh. Lemak
mengandungi asid lemak yang penting dan sesetengah jenis mikro nutrien yang
sangat diperlukan untuk pembentukan otak dan menjalankan fungsinya dengan
sebaiknya. Akan tetapi, walaupun lemak baik, anda masih perlu mengawal
pengambilan lemak oleh anak. Terlalu banyak makanan berlemak boleh memudaratkan.
Oleh itu, pastikan makanan yang diambil anak perlulah seimbang.
Ketika menyediakan makanan untuk anak, pilihlah bahan mentah yang rendah
lemak tepunya, rendah asid lemak dan rendah kolesterol. Walau bagaimanapun,
elakkan memberi anak makan makanan rendah lemak yang diformulasikan untuk orang
dewasa. Sebaliknya, pilihlah makanan yang mengandungi lemak daripada
sayur-sayuran dan ikan kerana bahan-bahan tersebut kaya dengan Omega 3 dan
Omega 6. Omega 3 boleh didapati daripada telur, ikan laut dalam seperti salmon,
ikan bilis dan tuna.
Tip 6: Tetapkan
waktu makan
Ajarkanlah tabiat pemakanan sihat
kepada anak sejak mereka kecil lagi. Ini termasuklah bila waktunya mereka perlu
makan dan bukan hanya apa yang boleh dan apa yang tidak boleh mereka makan.
Kanak-kanak disarankan mengambil 3 hidangan utama dan 2 hingga 3 hidangan
snek sehari. Hal ini membantu mengelakkan pengambilan makanan ringan yang tidak
terkawal dan dalam masa yang sama mengurangkan risiko obesiti.
Ibu bapa disyorkan agar sentiasa
membekalkan anak dengan snek yang berkhasiat seperti buah-buahan, makanan
tinggi serat dan bijirin agar mereka dapat makan ketika lapar. Karbohidrat
lengkap yang ada dalam bijirin, makanan kaya serat dan buah-buahan mampu
membuatkan perut anak anda kenyang sementara menunggu waktu makan utamanya.
Serat yang ada dalam buah-buahan dan bijirin baik untuk sistem penghadaman
kanak-kanak dan membuatkan dia rasa kenyang untuk satu jangka masa yang
panjang.
Tip 7: Makan bersama
keluarga
Makan bersama keluarga adalah
amalan yang baik dan perlu diamalkan oleh setiap keluarga yang ada di dunia
ini. Inilah masanya untuk mengeratkan hubungan seisi keluarga. Jadi,
sediakanlah hidangan yang istimewa dan pastinya makanan tersebut kaya dengan
khasiat. Inilah juga masanya untuk ibu bapa mengajar anak etika di meja makan
dan tabiat pemakanan yang baik.
CARTA PEMAKAN BAYI
Masa terbaik untuk memberi anak
makanan pejal bergantung kepada kesediaan anak itu sendiri. Bayi perlu
mengambil makanan pejal apabila kalori yang mereka dapat daripada susu sudah
tidak mencukupi. Anda sepatutnya memperkenalkan makanan pejal kepada anak
secara berperingkat. Ketahuilah bahawa makanan bayi yang disediakan sendiri di
rumah adalah yang terbaik untuk anak kerana segar dan tidak menggunakan
sebarang bahan pengawet.
6 bulan
Tekstur makanan : Puri yang halus.
Minuman: Susu ibu.
Makanan yang dicadangkan: Beras, pisang, ubi kentang, keledek,
bayam dan lobak merah.
Perlu dielakkan: Garam, gula, produk tenusu, telur dan kekacang.
8 bulan
Tekstur makanan: Puri yang sedikit kasar.
Minuman: Susu
ibu atau susu formula dan air masak atau jus buah-buahan yang dicairkan (1:5).
Makanan yang dicadangkan:
Buah-buahan dan sayur-sayuran.
Perlu dielakkan:
Garam, gula, susu lembu segar, organ dalaman haiwan, kekacang dan putih telur.
10 bulan
Tekstur makanan: Makanan yang dilenyek kasar.
Minuman: Susu
ibu atau susu formula dan air masak atau jus buah-buahan yang dicairkan (1:5).
Makanan yang dicadangkan:
Buah-buahan, sayur-sayuran, ikan dan ayam.
Perlu dielakkan:
Garam, gula, putih telur, kerang-kerangan, kekacang dan cili.
12 bulan
Tekstur makanan: Makanan yang dilenyek kasar
Minuman: Susu
ibu atau susu formula, air masak atau jus buah-buahan yang dicairkan (1:5)
Makanan yang dicadangkan:
Sayur-sayuran, buah-buahan, makanan berprotein dan bijirin.
Perlu dielakkan: Garam dan gula yang terlalu banyak, cili dan
kerang-kerangan.
No comments:
Post a Comment